Kandungan asid gastrik dalam perut tertolak ke atas memasuki saluran esofagus atau kerongkong.
SEPULUH
tahun menghidap penyakit refluks gastroesofagus (GERD) tidurnya
terganggu kerana pedih ulu hati. Setiap kali selepas makan mesti tidak
selesa, loya dan mulut pula terasa masam. Dada terasa ngilu sangat
sehingga kadang kala tidak boleh tidur. Kalau makan makanan berminyak,
keadaan menjadi lebih teruk.
Terry Tan, 37, cuba bertahan tetapi gejala GERD mengganggu aktiviti hariannya.
"Ketika
bersenam pun saya boleh alami masalah ini terutama apabila saya
melakukan tekan tubi atau bangun tubi. Malah apabila tunduk pun saya
boleh rasa dada pedih. Pada awalnya, saya mengambil ubat antiasid tetapi
kesan ubat tidak lama sehinggalah saya diberikan ubat dipanggil
perencat pam proton (PPI) yang membolehkan saya menjalani hidup dengan
lebih baik," ujarnya.
Mengalami simptom yang sama, pesara, A. Susainathan, 64, juga kerap mengalami pedih ulu hati, terutama ketika tidur.
Kadang-kadang dia terjaga sampai 10 kali pada waktu malam. Ini mengganggu kerjanya pada waktu siang.
"Saya
berusaha mendapatkan rawatan sewajarnya sebelum disahkan penghidap
GERD. Dulu saya pernah bergelar perokok tegar tetapi disebabkan GERD,
tabiat itu saya tinggalkan," ujarnya yang telah 13 tahun menderita GERD.
Susainathan
menyarankan setiap individu yang memiliki simptom penyakit itu agar
mendapatkan rawatan segera bagi mengelak ia bertambah kronik.
Asid gastrik
GERD
adalah keadaan apabila kandungan asid gastrik dalam perut tertolak ke
atas memasuki saluran esofagus atau kerongkong. Aliran songsang atau
refluks asid gastrik inilah yang membuatkan seseorang mengalami pedih
ulu hati, mulut terasa masam, loya dan tidak selesa.
Menurut
kajian yang dilakukan di seluruh Asia baru-baru ini tentang kesan GERD
terhadap mutu kehidupan, anggaran 60 peratus penghidapnya merasa tidak
sihat, mengelak daripada makan sesetengah jenis makanan dan minuman,
merasa letih dan khuatir disebabkan simptom GERD, manakala 50 peratus
lagi terjaga daripada tidur sekurang-kurangnya sekali atau dua kali
sebulan akibat simptom penyakit.
Gangguan tidur ternyata
mengganggu produktiviti dan waktu santai pesakit, dengan lebih 60
peratus melaporkan kesan yang besar dan sederhana terhadap kerja dan
waktu rehat mereka.
Kajian ini menunjukkan penghidap GERD
memandang ringan kesan buruk penyakit terhadap mutu kehidupan mereka dan
tidak menyedari bahawa ia boleh menjejaskan kesihatan jangka panjang
yang serius. Mereka hanya mendapat bantuan rawatan apabila rasa sakit
dan semakin tidak selesa. Hampir separuh pesakit menanggung simptom
sekurang-kurangnya selama enam bulan sebelum berjumpa doktor.
Dalam
hal ini, bekas Presiden Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi
Malaysia yang juga Perunding Gastroenterologi, Dr. Tan Huck Joo berkata,
para pesakit tidak sepatutnya membiarkan simptom GERD mengganggu tugas
harian mereka.
"Mereka tidak perlu menanggung sakit dalam diam.
Dapatkan nasihat daripada doktor supaya dapat mengetahui dengan lebih
jelas tentang tahap penyakit yang dihidapi. Hanya selepas itu anda boleh
mendapat rawatan yang khusus untuk masalah GERD," kata beliau.
Aku kongsi pasal aku tengah alaminya sekarang..adei bisa woO